aku ni anak yatim piatu

(Tak boleh tidur, I need to write it outta my brain)




Selalu aku fikir, aku ni anak yatim piatu, mak bapak sendiri pun aku tak tahu siapa. Hidup dengan mati aku tak ada makna untuk korang semua. Aku masih tak faham sepenuhnya apa tu perasaan sayang. Masa aku kecil dulu, warden asrama bagitahu yang marah tandanya sayang. Jadi, bila aku tengok balik parut sebatan warden yang berbirat-birat dekat belakang aku ni, mungkin itu tanda dia sayang aku. Aku masih tak faham, kenapa 'sayang' dia sangat menyakitkan.

Sumpah. Aku boleh sumpah dengan kau yang aku tak pernah lagi nangis bila kena sebat, sepak terajang dengan warden. Aku rasa mata aku dah lupa cara nak nangis. Hati aku mungkin dah jadi batu bila aku pendam dan kumpul semua kesedihan aku sendiri. Aku ingat lagi, waktu tu aku baru dihantar  Jabatan Kebajikan Masyarakat masuk sini. Aku tak berapa jelas dengan memori sebelum itu, yang pasti aku membesar dekat jalanan. Aku cuma lapan tahun bila aku kena tuduh mencuri duit warden - lima puluh ringgit. Perangai aku memang lah nakal, tapi aku tak curi, warden tak percaya. Alasan dia sebab aku tak macam anak yatim lain yang dibiayai wang tinggalan atau pampasan mak bapak diorang yang meninggal dunia. Warden tuduh aku habiskan duit beli jajan dekat kedai runcit seberang asrama. Malam tu, warden bantai aku dengan rotan dia. Lima puluh kali, setiap satu untuk setiap ringgit duit dia yang hilang. Menggeletar badan aku tahan sakit setiap kali rotan dia hinggap badan. Tak cukup dengan rotan, malam tu, aku tidur berikat dekat pokok rambutan. Mungkin nasib aku memang ditakdirkan malang - aku tidur dalam hujan renyai.




Sembilan tahun dah berlalu dan tak ada satu keluarga pun nak pungut aku dan jadikan aku anak angkat. Mana tidaknya, aku tak ada asal usul. Aku cuma tahu hidup aku yang sebenar bermula dengan Rumah Harapan. Tersenyum aku sebut nama rumah ni. Harapan lah sangat. Aku tak ada cita-cita hidup yang jelas. Aku ikut sahaja mana hidup bawa aku. Aku tahu, tuhan maha adil. Dia tak tinggalkan aku dalam hidup yang maha perit tanpa kurniakan aku sesuatu yang aku boleh buat harta. Mungkin rezeki aku ialah otak aku yang sedikit cerdik dari penghuni-penghui lain dekat sini. Walaupun aku mula belajar membaca usia lapan tahun, keputusan UPSR aku 5A, PMR dan SPM yang aku baru dapat semalam, masing-masing 8A dan 11A. Rumah Harapan tak ada dana untuk lepaskan aku belajar sekolah asrama jauh-jauh. Bukan aku tak pernah pergi mintak biasiswa daripada jabatan-jabatan kerajaan, sudah. Tapi aku tak pernah terima sepucuk surat pun atas nama aku, walaupun setiap minggu ada sahaja posmen yang singgah. Jadi, impian untuk sambung belajar aku simpan dulu.


Sudahlah. Hari ini hari bersejarah bagi aku, ulang tahun hari lahir aku yang ke lapan belas. Aku akan tinggalkan tempat ni sekejap lagi. Dengan duit upah potong rumput yang aku kumpul setiap hari minggu sejak dua tahun lepas, aku dah mampu bayar 2 bulan sewa bilik kawasan Batu Pahat ni. Lepas kaki aku melangkah pagar ni, aku akan terus merayau ke pekan, cari kerja. Inilah masanya. Aku dah tercegat depan ni dalam lima belas minit sebab otak aku terlalu sibuk terkenangkan kisah lalu. Aku toleh belakang, aku nampak warden yang aku cerita tadi, Pak Din pandang aku melalui tingkap kaca tingkat dua dengan pandangan bengis macam biasa. Aku angkat tangan dan beri senyuman hambar aku. Tingkap kaca terus ditutup. Aku tahu sebenarnya Pak Din akan rindukan aku, satu-satunya penghuni kegemaran untuk dia lepaskan masalah dan boleh dibantai tanpa melawan balik. Heh. Aku tarik bagasi hitam aku keluar dengan lafaz bismillah.


Langkahan pertama aku keluar pagar, aku disapa dengan muka biasa yang aku kenal, posmen yang singgah Rumah Harapan ni setiap minggu - Shafiq - mengikut tanda nama dia.

"Adik ni Muhammad Ali bin Abdullah?"

Aku menganguk. 

"Tahniah!" Shafiq tepuk bahu aku sambil serahkan aku satu sampul surat bersaiz A4. Tiada setem dan alamat, cuma nama aku. Tak sempat aku nak ucap terima kasih. Motor Shafiq sudah berderam berlalu pergi. Aku lepaskan bagasi aku. Sampul putih itu aku koyakkan hujungnya.


--------------------------------------------


PRIVATE & CONFIDENTIAL

The Postman Academy

Abdullah, Muhammad Ali

Upon receiving this letter, you have been short-listed as our potential trainee for the Asian Region. Please expect yourself to be seized by our agency within two weeks. Congratulation.